Wednesday, October 9, 2013

KSF Usahawan


Key Success Factor(KSF) secara amnya menerangkan bahawa setiap perniagaan sepatutnya perlu mempunyai faktor-faktor kejayaan utama. Tetapi tidak semestinya semua syarikat mempunyai faktor-faktor kejayaan yang sama. Menurut Austin (2002), KSF merupakan satu kunci untuk mengenalpasti kepuasan pencapaian sesuatu organisasi dalam usaha untuk mencapai matlamat mereka. Menurut beliau lagi KSF merupakan satu cara untuk mengenalpasti keperluan yang perlu ada untuk mencapai sesuatu kejayaan.Setiap syarikat mempunyai KSF yang tersendiri untuk mencapai kejayaan bagi perniagaan masing-masing. Kajian-kajian lalu banyak menerangkan tentang KSF syarikat luar negara yang berjaya. Ciri-ciri usahawan yang berjaya ialah mereka yang tidak takut kepada kekuatan musuh dengan menjadikannya sebagai kekuatan untuk bersaing. Mereka mestilah memulakan sesuatu dengan tidak mengharapkan semata-mata kepada peluang yang diberikan. Usahawan yang berjaya juga mestilah cepat bertindak untuk mengubah strategi yang mereka laksanakan berdasarkan kepada keperluan semasa. Ini bermaksud, mereka tidak hanya bergantung kepada penetapan strategi awal yang dilaksanakan. Seterusnya, mereka juga bijak menggunakan masa yang sedia ada dengan sebaik mungkin (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Walter Kuemmerle, 2002; Usahawan Sukses, 2002; Rosdi, 2002). Perancangan dan pendapat yang baik merupakan sahabat yang terbaik kepada usahawan. Ianya dapat membantu para usahawan ini untuk mendapatkan pemasaran dan kepercayaan daripada pelanggan dan pembekal (Batten, 2002).


Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, jalan yang singkat atau jalan pintas perlu dielakkan dalam menjalankan sesuatu perniagaan. Perniagaan yang mengikut peraturan dan etika perniagaan ialah perniagaan yang dilakukan sendiri dengan sepenuh masa. Terdapat tujuh faktor atau langkah sebagai panduan bagi membentuk kejayaan seorang usahawan (Nadzri, 2000).

i) Pertama ialah keputusan yang dibuat secara sedar. Rancangan perniagaan yang dibuat secara sedar yang mengambil kira setiap aspek perniagaan akan berjaya meningkatkan keuntungan syarikat dan lebih berdaya maju. Melalui rancangan perniagaan ini juga, para usahawan akan dapat mengenal pasti potensi syarikat untuk lebih berdaya saing di dalam industri yang mereka ceburi.

ii) Kedua ialah minat terhadap bidang perniagaan yang diceburi. Usahawan ataupun ahli perniagaan akan lebih bersikap positif terhadap kerja ataupun tanggungjawab yang mereka laksanakan sekiranya mereka minat di dalam bidang yang telah diceburi. Contohnya, kesanggupan untuk meluangkan masa dalam perniagaan, berani mengambil risiko, bersikap lapang dada dan tabah menghadapi cabaran dalam perniagaan


iii) Ketiga, tingkatkan kemahiran atau kepakaran dengan bersungguh-sungguh. Tetapkan sendiri matlamat pencapaian dari masa ke semasa serta cuba elakkan diri dari melakukan kesilapan bagi kali yang kedua. Kepakaran perlu ada pada diri sendiri. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke apa juga peringkat kerana seorang usahawan yang berjaya perlu bersedia melakukan apa saja pada setiap masa.Perniagaan perlu dibentuk berdasarkan kepakaran yang ada dan sewajarnya perniagaan dimulakan secara kecil-kecilan.

iv) Keempat, belajar daripada pakar-pakar atau orang yang lebih arif berkaitan perniagaan yang diceburi. Usahawan boleh bekerja dengan orang lain atau mengikuti kursus, seminar dan perbincangan untuk menambahkan pengalaman perniagaan. Ini adalah satu cara bagi memendekkan kaedah atau prosedur dalam perniagaan dan mengelak daripada melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah atau perkara yang merugikan.

v) Kelima, bersedia menghadapi masalah atau risiko. Usahawan perlu sentiasa bersedia bagi menghadapi masalah,dari segi kewangan, pemasaran dan risiko perniagaan serta mengambil kira setiap aspek dan iktibar dari segala keadaan yang berlaku. Pelbagai cabaran akan dihadapi, lebih-lebih lagi risiko dalam menghadapi pesaing yang ramai. Oleh itu, usahawan perlu bersedia dan bijak menyelesaikan masalah yang berlaku.


vi) Keenam, berkebolehan memasarkan produk. Usahawan sewajarnya mampu keluarkan produk yang ada pasaran atau permintaan dan boleh mendatangkan keuntungan. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menarik perhatian pelanggan. Oleh itu, usahawan perlu tahu selok- belok perniagaan dan ilmu yang berkaitan sebelum menceburi bidang yang mencabar ini.

vii) Dan yang terakhir ialah jangan cepat kecewa atau mengalah. Kegagalan perlu dijadikan sebagai pengalaman dan peluang untuk terus berjaya. Usahawan perlu bersikap positif dan mengambil ikhtibar terhadap kesilapan lampau supaya lebih maju di masa hadapan.


Dengan mengetahui kepentingan faktor ini ianya dapat menjadi penunjuk arah dan tujuan untuk menghadapi kehidupan. Faktor ini juga akan menjadi asas kepada penyaluran idea, masa dan tenaga yang berkesan. Dengannya juga, usahawan dapat mengelak dan mengurangkan pembaziran masa, tenaga dan kewangan yang menjadi ukuran kejayaan dalam mengendalikan perniagaannya.




No comments:

Post a Comment