Usahawan:Tengku Arman Harris Tengku Ismail
Negeri Terengganu terkenal dengan industri penghasilan kraftangan batik yang berkualiti tinggi. Industri ini turut mengetengahkan bakat salah seorang
pengusaha batik yang paling berjaya dan disegani di kalangan komuniti masyarakat Kuala Terengganu,Tengku Arman Haris.Bagi Tengku Arman Harris Tengku Ismail yang cacat pendengaran, kegigihan
dan ketabahannya menjadikan beliau antara usahawan OKU yang berjaya dalam
perusahaan membuat batik sutera di Terengganu.
Menceritakan pengalaman sebelum menceburi perusahan berkenaan sejak 10 tahun
lepas, beliau mula bekerja sebagai pengimpal di sebuah bengkel kenderaan di
Kuala Lumpur pada 1990 selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah
Pendidikan Khas di Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Vokasional di Shah Alam,
Selangor.
Setahun selepas bekerja di ibu kota, beliau yang merupakan anak sulung daripada
enam beradik terpaksa pulang ke Terengganu untuk mengambilalih tugas sebagai
ketua keluarga selepas kematian bapanya, yang terkorban dalam nahas jalan raya.
Mengimbas pengalamannya dalam industri pembuatan batik sutera, Tengku Arman
mula bekerja di kilang Romi Batik di Chendering di sini, pada 1991 serta sebuah
syarikat batik di Batu Burok, selama beberapa tahun sebelum membuka syarikatnya
sendiri. Menurut ibunya, Wan Zaitun Wan Mansur, 59, semasa bekerja di dua tempat
berkenaan, Tengku Arman mempelajari pelbagai cara pembuatan batik sehingga 1996
sebelum membuka sendiri syarikatnya iaitu Arman Batik di rumahnya di Kampung
Tebauk di sini.
Zaiton, yang merupakan jurubahasa isyarat anaknya, berkata dengan keazaman
untuk berjaya dalam industri tersebut, Tengku Arman mendirikan sebuah bangsal
berhampiran rumahnya, dengan mengusahakan pembuatan batik secara kecil-kecilan.
Berbekalkan bakat dan kebolehan anaknya, beliau berkata Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) Terengganu telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM2,000
kepada Tengku Arman untuk mengembangkan perusahaannya.Beliau berkata, setelah perusahaan anaknya itu menampakkan kejayaan, Tengku
Arman memohon pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara)
dan perusahaannya bertambah maju sehingga mampu membayar balik pinjaman dalam
tempoh yang singkat.
"Saya rasa puas apabila Tengku Arman dapat menyelesaikan pinjaman Mara
dalam tempoh yang singkat kerana ia memberi keyakinan kepada Mara untuk memberi
pinjaman kepada golongan sepertinya pada masa akan datang. "Ini kerana, agak sukar bagi golongan OKU untuk menceburi bidang
perniagaan kerana terdapat segelintir masyarakat yang memandang serong terhadap
mereka," kata Wan Zaitun.
Tengku Arman berkata selain dibantu isterinya, Azizah Md Yassin yang juga
cacat pendengaran, beliau mempunyai tiga pekerja bagi membantunya mencating
kain-kain batik. Atas usaha gigihnya, Tengku Arman kini boleh berbangga kerana memiliki dua buah
kedai batik sutera iaitu "Anas Butik" di Subang Jaya, yang diurus
oleh diknya. Katanya, beliau menghasilkan kain-kain batik sutera dengan dua
kaedah iaitu melalui blok serta mencating dan ia dijual antara RM200 dan RM400
sepasang.
"Gerai musim perayaan, saya akan mengambil ruang di Subang Parade untuk
menjual kain-kain batik sutera saya dan alhamdulillah, sambutan yang diterima
sangat baik," katanya. Tengku Arman yang mendirikan rumahtangga dengan Azizah sejak tiga tahun lepas
dan belum dikurniakan cahaya mata, berkata beliau sering berulang-alik ke Kuala
Lumpur untuk menghantar kain-kain batik sutera yang dihasilkannya. Katanya, beliau berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaannya dan
bercita-cita untuk membuka sebuah kedai di sini, tidak lama lagi. Kesungguhan Tengku Arman dalam industri itu mendapat pengiktirafan dan beliau
merupakan Presiden Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran Terengganu
(PKOCPT) yang pertama sejak ia ditubuhkan pada 2001.
PKOCPT mencapai kegemilangan di bawah kepimpinan Tengku Arman apabila diiktiraf
sebagai persatuan OKU terbaik Terengganu sempena Hari Orang Kurang Upaya
peringkat negeri anjuran JKM pada 2003. Kebolehan dan pencapaian Tengku Arman itu juga telah melayakkan beliau menerima
pengiktirafan termasuk sebagai Tokoh OKU Bahagian Ekonomi pada 2007 dan Tokoh
OKU Keseluruhan pada 2005.
No comments:
Post a Comment